Wednesday, September 11, 2013

PERSIDANGAN MEJA BULAT: PERGOLAKAN DEMOKRASI DI MESIR - PERSPEKTIF GENERASI MUDA - Part 1

Assalamualaikum wahai akhwat dan akhi sekalian,

Rindu, serindu-rindunya... rindu untuk menyampaikan dakwah dan ini menarik-narik hati Shahida untuk menyampaikan apa yang Shahida peroleh minggu yang lalu ketika menyertai Persidangan Mejabulat: Pergolakan Demokrasi Di Mesir. Harap sangat kawan-kawan dapat berkongsi maklumat primer ini kepada sanak-saudara, rakan-rakan taulan terdekat, dan semua saudara seIslam kita. Semoga ianya bermanfaat kepada kita kerana Media massa kini terlalu kalut membuat liputan tanpa usul periksa. Oleh itu, haruslah kita mencari sumber yang benar. Berikut adalah sedikit sebanyak laporan yang shahida sediakan berdasarkan pembentangan dan perbincangan ahli akademi yang dijemput oleh pihak Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM). Harap akhwat dan akhi semua tidak bosan membaca demi menyelongkar kisah benar dari Mesir... Sebelum kita ikuti keadaan di sana, sangat perlu kita menyelongkar latar sejarah Mesir agar ianya lebih jelas.. 



Krisis Demokrasi Di Mesir: Satu Sorotan Sejarah dan Masa
- Tn Hj Shamsul Azhar Yahya
Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sejarah Mesir bermula sejak zaman Firaun. Pada mulanya kerajaan Malaysia mengkategorikan Ikhwanul Muslimin sebagai terrorist. Ikhwanul Muslimin (IM) pada asalnya ditubuhkan di Ismailiyyah oleh Hassan Al-Banna. Pada Mac 1928, berkumpul 6 sahabat Hassan Al-Banna menubuhkan gerakan tersebut. Kemudiannya, gerakan IM semakin rancak apabila Hassan Al-Banna bertugas di Kaherah. Ketika itu terdapat hampir 100 gerakan IM di Mesir. Tahun 1940 melihat peningkatan gerakan IM dengan 500 cawangan dan meningkat sehingga 5000 cawangan pada tahun 1946 dengan keahlian melebihi 500 000 orang pengikut.

Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin
Sehingga kini, pemimpin IM seramai 6 orang semuanya telah ditangkap oleh tentera Mesir. 5 orang yang terdahulu termasuk Hassan Al-Banna telah dikenakan hukuman gantung dan terbaru, Mohammad Badie telah dijadikan tahanan. Dalam kandungan Mukhtamar Ikhwan ke-Lima menunjukkan betapa IM amat memberi perhatian kepada golongan belia.

Pada tahun 1948 hingga 1965, sejumlah 61,000 orang pengikut IM telah ditangkap dan dibunuh. Raja Farouk telah mengharamkan IM pada 8 disember 1948 dan kesannya semua markas diarahkan tutup. Rentetan peristiwa, pada tahun 1952, IM telah mengetuai Revolusi apabilamana parti lain masih takut-takut untuk bertindak. Kemudian, Muhammad Naguib telah meminta bantuan daripada IM setelah dijatuhkan. Setelah kembali memerintah, Muhammad Naguib telah memfitnah IM dan mengharamkan IM. Setelah tampuk pemerintah diambil alih oleh  Gamal Abdel Nasser, perkara yang sama berlaku. Kemudian di zaman pemerintahan Anwar El Sadat, beliau tidak membenarkan IM untuk membuka markas tetapi dibenarkan untuk menerbitkan majalah Ikhwanul Muslimin. Majalah IM ketika itu benar-benar telah menghentam kerajaan Sadat dan menegaskan isu-isu berkaitan komunis.

Peristiwa kemudian berterusan dengan pengkhianatan seorang pengikut IM yang dikatakan telah membunuh Anwar El Sadat sedangkan dia sudah tidak menyokong IM lagi. Hal ini menjadi fitnah terhadap IM. Setelah pembunuhan Anwar El Sadat, Hosni Mubarak mengambil alih pemerintahan di Mesir. Setelah 30 tahun memerintah secara kuku besi, peristiwa seorang pemuda yang dibelasah oleh polis, Khaled Saed telah membangkitkan kemarahan belia dan seterusnya telah berlaku Revolusi 2011 yang akhirnya telah menjatuhkan Mubarak.

Sejak tahun 1928, Ikhwanul Muslimin merupakan ketua kepada anti-terorist. Apabila persoalan mengenai adakah Ikhwanul Muslimin terlibat secara langsung dengan terorist, jawapannya adalah; Tidak. Menurut Tn Hj Shamsul, beliau pernah bertemu sendiri dengan seseorang dari kerajaan Mesir, apabila soalan yang sama ditujukan, jawapannya adalah “orang yang belajar sejarah akan tahu bahawa Ikhwanul Muslimin tidak pernah terlibat dengan sebarang terrorist.”

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman ketika berada di Rabaah bahawa beliau telah bertemu seorang mak cik yang merupakan pro-demokrasi tetapi tidak menyokong Mursi. Menurut mak cik tersebut, pada Disember 2012 rumahnya telah runtuh dan dia telah tinggal di bawah jambatan tanpa mendapat bantuan. Suatu hari datang tiga orang lelaki menemui mak cik tersebut dan salah seorangnya adalah Presiden Mursi. Mursi telah memberikan sebuah apartment untuk mak cik tersebut. Setiap bulan sejak Januari 2013 dia tinggal di sana mak cik tersebut menerima surat pembayaran sewa apartment yang menyatakan ianya telah dibayar. Mak cik itu turut mendapat elaun sara hidup sebanyak 240 ringgit (tak pasti matawang apa yang dimaksudkan oleh Tn Hj). 

2 September 2013
10:30 pg

Maaf di atas laporan yang ringkas kerana ianya apa yang Shahida sempat catatkan. Jika anda berada di dalam pembentangan bersama-sama para belia yang hadir, pengulasannya adalah lebih mendalam, wallahualam.
Selain apa yang Shahida catatkan, akhwat dan akhi bolehlah merujuk penjelasan dari saudara kita AngelPakaiGucci; Konflik Mesir Untuk Dummies kerana Shahida dapati ianya selaras dengan apa yang Shahida dapati dari penjelasan Tn Hj Shamsul dan Prof Redzuan, Pakar Asia Barat, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Semoga kita sama-sama mendapat pencerahan mengenai isu ini, in shaa Allah.. Ikuti lagi post Shahida dengan laporan pembentangan dari Prof Redzuan di Part 2, in shaa Allah..


No comments:

Post a Comment