Wednesday, September 25, 2013

PERSIDANGAN MEJA BULAT: PERGOLAKAN DEMOKRASI DI MESIR - PERSPEKTIF GENERASI MUDA - Part 3

Diskusi Mejabulat

Kemudian, pembentangan diikuti dengan sesi diskusi mejabulat di mana saudara Mohd Faiz telah menyuarakan pandangannya bahawa rakyat Mesir memperlakukan layanan double standard terhadap pemerintahan yang islamik. Isu pergolakan di Syria juga menjadi persoalan sama ada puncanya berkait antara satu sama lain kerana Mursi pada pemerintahannya telah membuka pintu Rafah untuk pelarian Palestine.

Prof Redzuan menjawab persoalan dan pandangan Mohd Faiz dengan sebuah cerita iktibar di mana Rachel Corrie, seorang warganegara Amerika bukan beragama Islam telah terbunuh dilanggar bulldozer ketika mempertahankan hak kemanusiaan rakyat Palestine. Di sini dapat dilihat bahawa isu di Syria dan Mesir bukanlah hanya sekadar isu keagamaan, malah ianya adalah isu kemanusiaan keseluruhan. Disamping itu, Prof juga menyatakan terdapat segelintir rakyat Malaysia yang mempersoalkan bantuan ke Palestine berbanding bantuan untuk rakyat miskin di Malaysia. Beliau berkata, ini adalah isu kemanusiaan, hanya orang yang berjiwa kecil yang menyoalkan persoalan tersebut kerana umat Islam itu bersaudara dan kita haruslah menanganinya secara bersama sebagai isu kemanusiaan.

Encik Suhail Kamarruddin kemudian memberi pandangan beliau bahawa Mesir tiada bukti menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin terlibat dengan terrorist.

Saudara Syafiq Syafie yang merupakan pelajar Al-Azhar membangkitkan isu slogan “Ikhwanul Muslimin ingin mengikhwankan Mesir”. Ketika Mursi naik katanya Turkey mengatakan bahawa Mursi bekerja untuk Ikhwanul Muslimin dan bukannya untuk rakyat.

Saudara Syahrir Azhar kemudiannya mencadangkan perbincangan ulama’ untuk membantu umat Islam di Mesir perlu diadakan. Berdasarkan rentetan peristiwa sebelum ini, Mursi telah menyatakan sokongan terhadap Syria. Saudara Syahrir juga membuka sedikit lembaran sejarah Syria dimana Hafiz Al-Arshad, ayah kepada Basyar telah membunuh lebih 40,000 rakyat kerana Ikhwanul Muslimin telah bangkit menentang. Mereka telah menerapkan bahawa FSA sebagai pengganas. Setelah jatuhnya Mesir, Turkey sahaja yang tinggal menyokong Syria. Isu Syria telah dipencilkan daripada tindakan OIC dan mata dunia. Pada pendapat saudara Syahrir, isu kedua-dua Negara haruslah seimbang dan ditangani bersama.

Encik Suhail kemudian bertanyakan kesahihan daripada perwakilan Malaysia Life Line for Syria (MLL4S) sama ada penggunaan senjata kimia terhadap rakyat Syria dilakukan oleh kerajaan atau rakyat mereka sendiri.

Perwakilan MLL4S, Encik Syahrir mengatakan sememangnya penggunaan senjata kimia adalah daripada kerajaan Syria sendiri berdasarkan maklumat yang diterima oleh mereka. Pada masa yang sama, pihak PBB telah dihalang untuk masuk ke Syria dan Mesir.

Tn Hj Shamsul kemudiannya menyatakan kelompok Salafi telah memenangi undi lebih dari 20% di Mesir ketika pilihanraya. Puak Salafi adalah lebih ekstrem gerakannya berbanding Ikhwanul Muslimin dimana dalam Manifesto mereka dengan jelas ingin menutup bank-bank riba serta kawasan pelancongan yang memberi keuntungan kepada pihak Israel. Hal ini menyebabkan ketakutan kepada kuasa barat kerana ianya akan melumpuhkan ekonomi mereka.

Puak Salafi ini adalah satu kelompok Mesir yang masih mengamalkan sifat-sifat peribadi dan pakaian ketika zaman Nabi. Undian yang diterima kebanyakannya datang dari kawasan kampung kerana mereka banyak menyebarkan dakwah melalui surau-surau dan masjid-masjid. Oleh itu, puak Salafi telah menuduh Ikhwanul Muslimin apabila mereka kalah dalam pilihanraya yang lalu. Hal ini berlaku kerana terdapat fitnah yang disebarkan dalam kalangan penduduk menyatakan calon mereka telah meninggal dunia. Disebabkan akses komunikasi yang terhad dengan dunia luar untuk mendapatkan maklumat, mereka tidak dapat mengesahkan perkara tersebut dan terpaksa mengundi calon lain.

Tn Hj Shamsul juga menerangkan bahawa puak Salafi dengan tegas mengatakan mereka ingin menegakkan Negara Islam dalam manifesto manakala Ikhwanul Muslimin hanya tegas dengan pendirian mereka selepas peringkat ke-3 pilihanraya. Apabila Puak Salafi kalah, mereka tidak berpuas hati kerana merekalah yang berusaha keras untuk demonstrasi Arab Spring selama 18 hari tetapi Ikhwanul Muslimin pula yang diberi kuasa untuk memerintah. Namun harus dilihat bahawa sebenarnya perjuangan IM adalah lebih lama berbanding puak Salafi iaitu bermula sejak tahun 1928 dan telah banyak darah yang tumpah sepanjang perjuangan mereka termasuklah pemimpin-pemimpin IM yang telah digantung mati. Kemudiannya, El-Sissi cuba mendapatkan sokongan puak Salafi kerana jika Mursi jatuh, parti ke-2 terbanyak undian akan memerintah.

Tn Haji Shamsul menambah bahawa Syeikh Al-Azhar sebenarnya tidak dipilih oleh rakyat untuk bersuara bagi rakyat Mesir tetapi dipilih oleh parti-parti yang berkepentingan.

Prof Redzuan mengatakan bahawa puak Salafi tergolong dari golongan taariqat dll dan merupakan pelampau dalam beragama. Ciri-ciri mereka adalah berjambang dan calon wanita dalam pilihanraya diwakili bunga mawar menggantikan gambar mereka. Pada zaman pemerintahan Abdel Nasser, beliau menggunakan sepenuhnya media untuk propaganda memburukkan Ikhwannul Muslimin. Hal ini memberi kesan terhadap rakyat masa kini yang mendapat berita palsu mengatakan Mursi mahu mengikhwankan Mesir.

Kuasa media adalah amat besar. Hal ini terbukti apabila rakyat Turkey mengeksplotasikan media bahawa tunjuk perasaan di Taksin secara live adalah satu kebangkitan rakyat walhal yang hadir tidaklah seramai yang digembar-gemburkan. Turkey merupakan kuasa ekonomi ke-5 terbesar di dunia kerana mengamalkan demokrasi dan tidak tunduk kepada tentera.

*Sejarahwan ada mengatakan jika mahu Mesir maju, bangunkanlah Sinai, sebuah daerah dalam Mesir. Namun pada pemerintahan Husni Mubarak, dia tidak membangunkan Sinai dan lebih selesa membiarkan rakyat hidup miskin serta mundur dalam teknologi bagi memudahkannya memerintah. Setelah Mursi mengambilalih tampuk pemerintahan, Mursi telah membangunkan kawasan Sinai yang merupakan tanah yang subur untuk tanam-tanaman dan sekaligus meningkatkan ekonomi Mesir.

Seorang pegawai IPPBM mempersoalkan mengenai maksud demokrasi dan fungsi duta Negara.

Prof Redzuan menjawab bahawa perubahan yang berlaku tidak drastik melalui demokrasi. Universiti Al-Azhar adalah di bawah kuasa kerajaan. Namun, Ahmed Muhammad Ahmed el-Tayeb telah dilantik sejak pemerintahan Husni Mubarak dan masih setia dengan Husni. Hal ini menyebabkan pendapat yang berat sebelah oleh imam terbabit terhadap pemerintahan Mursi.

Encik Muzzamil dari Persatuan Belia Selangor kemudiannya membangkitkan isu perhimpunan Bersih 1, 2, dan 3 sama ada ianya adalah agenda Amerika Syarikat semata-mata bahawasanya orang muda tidak boleh diberi peluang untuk bersuara. Seharusnya Malaysia menjadi model bagi Negara-negara luar.

Prof Redzuan mengatakan bahawa keadaan di luar dan dalam Negara tidak sama. Di Mesir, tentera tidak mengundi manakala di Malaysia tentera dan polis dibenarkan mengundi. Walaubagaimanapun, masih ada tentera yang menyokong pembangkang walaupun mereka berkerja untuk kerajaan. Hal seperti ini haruslah ada kesepakatan supaya dapat hasilkan Negara yang maju. Selain itu, Malaysia mengamalkan dasar rundingan dalam menyelesaikan apa jua masalah.

Encik Nasaruddin daripada Universiti Malaya kemudian bertanyakan persoalan kenapa Malaysia tidak bersuara di peringkat antarabangsa terhadap isu Mesir dan Syria walaupun Turkey dengan beraninya mengatakan sokongan mereka mendukung Mursi.

Prof  Redzuan menjawab bahawa sebelum ini Malaysia ada menyatakan sokongan mereka bersama Turkey.

Wednesday, September 11, 2013

PERSIDANGAN MEJA BULAT: PERGOLAKAN DEMOKRASI DI MESIR - PERSPEKTIF GENERASI MUDA - Part 2

Demokrasi dan Rampasan Kuasa Tentera di Mesir
- Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Bin Hj Othman
Pakar Asia Barat, Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Menurut Prof Redzuan, media hanyalah memberi maklumat dan mereka tidak membuat kajian secara mendalam. Kebanyakan media masa kini sudah dimanipulasi oleh pihak tertentu. Kemudiannya, Prof menjelaskan rentetan peristiwa di Mesir seperti berikut;

8 Julai 2013     Demonstrasi beramai-ramai

14 Ogos 2013 Pembunuhan beramai-ramai di medan Rabaah, Nahda, dan medan Mustafa Mahmud di Giza telah melibatkan korban melebihi 5000 orang rakyat berbeza dari laporan yang diberikan iaitu media hanya menganggarkan seramai 2200 orang yang meninggal ketika itu. Hal ini berlaku berikutan peristiwa rampasan kuasa pada 30 Jun 2013.

                       Peristiwa subuh berdarah bidik tepat (sharp shooter) telah meragut lebih 300,000 rakyat. Liputan media memaklumkan bahawa Free Syrian Army (FSA) dengan kerjasama Algerian telah ditindas oleh El-Sissi dan menyebabkan mereka membalas dendam terhadap rakyat. Kemudian, seperti yang telah dirancang dengan baik, FSA berjaya dipersalahkan.

              Turut berlaku rentetan peristiwa tersebut ialah masjid di bakar (The Massacre) untuk menghapuskan bukti jenazah pembunuhan beramai-ramai.

                        Berlakulah kebangkitan reformism.

Dalam ucapan Prof, beliau mengatakan bahawa Ikhwanul Muslimin merupakan pengasas kepada pemakaian tudung bagi menutup aurat kaum muslimah, mereka juga mengajar cara yang betul untuk mengerjakan solat 5 waktu.

Kejatuhan Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun sejak 1981 telah berundur pada 12 Februari 2011 selepas 18 hari demonstrasi. Ketika zaman pemerintahan beliau, regim Mubarak mendapat dukungan daripada Barat. Mubarak telah memerintah secara kuku besi; rakyat disekat untuk berhubung dengan dunia luar, internet disekat, dan mereka hidup dalam kemunduran. Rakyat membenci Mubarak sehinggakan Eid-Mubarak (Hari Raya Aidilfiltri) juga diubah kepada Eid-Kareem ketika pemerintahannya. 

Pada ketika itu, para pelajar di Universiti Kaherah tidak mempunyai hala tuju selepas pengajian dan mereka dibiarkan berdikari sepenuhnya selepas bergraduasi tanpa garis panduan. Mereka digembar-gemburkan dengan kemajuan berbanding dunia luar sedangkan ianya tidaklah seindah apa yang mereka nikmati. Husni Mubarak lebih suka jika rakyatnya tidak berpelajaran dan mundur supaya lebih mudah untuknya memerintah. Ketika berlakunya Egypt Referendum 2011, Ikhwanul Muslimin tidak terlibat, namun 70% rakyat menyokong Negara Demokrasi. Di atas kesedaran IM bahawa mereka perlu bertanding dalam Pilihan Raya untuk perubahan, mereka telah bertanding sebagai Freedom and Justice Party. Kemudian, Mursi telah menang dengan majority 54.2% undi dan dilantik sebagai Presiden Mesir. Walaubagaimanapun, antara cabaran-cabaran yang harus dihadapi oleh Mursi ketika pemerintahan adalah;

i)                    Komitmen angkatan tentera kepada perubahan
ii)                  Keberkesanan kepimpinan beliau
iii)                Keyakinan rakyat terhadap perubahan
iv)                Hubungan dengan Israel dan Negara jiran serantau

Segala cabaran yang besar ini berlaku kerana masih terdapat sekutu Mubarak dalam segenap pengurusan kerajaan, ketenteraan, guaman dan sebagainya menyebabkan agak sukar untuk Mursi melakukan perubahan dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun, Mursi mendapat sokongan penuh daripada Presiden Turkey, Recep Tayyip Erdoğan yang dengan jelas dan terang-terangan menyatakan pendirian beliau menyokong perjuangan Mursi sebagai Presiden yang sah dipilih melalui pilihanraya yang adil. Berbeza ketika pemerintahan kuku besi Mubarak, mahupun mereka membuat pilihan raya hampir setiap tahun, hanya 10% yang keluar mengundi kerana kawalan yang terlalu ketat oleh tentera menyebabkan kebimbangan rakyat untuk keluar mengundi. 

~~~~

Shahida dapati Prof Redzuan telah meng'upload' rakaman pembentangan beliau di dalam Youtube tetapi Shahida masih belum jumpa link tersebut. Dalam pencarian video tersebut, rupa-rupanya begitu banyak video mengenai Mesir yang telah diulas oleh beliau. Cuba kawan-kawan search nama Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Bin Hj Othman di Youtube dan pastinya anda yakin beliau adalah orang yang tepat untuk merujuk mengenai krisis di Mesir, wallahualam...

p/s: baca tak ucapan Dr Mursi dalam gambar tu? Ianya amat terkesan bagi shahida sebab ianya lebih kurang macam ucapan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar ketika dilantik menjadi Khalifah Allah.. Subhanallah..

After assuming the office of Caliphate Abu Bakr's first address was as follow:
I have been given the authority over you, and I am not the best of you. If I do well, help me; and if I do wrong, set me right. Sincere regard for truth is loyalty and disregard for truth is treachery. The weak amongst you shall be strong with me until I have secured his rights, if God wills; and the strong amongst you shall be weak with me until I have wrested from him the rights of others, if God wills. Obey me so long as I obey God and His Messenger. But if I disobey God and His Messenger, ye owe me no obedience. Arise for your prayer, God have mercy upon you.              
source: Wikipedia 

PERSIDANGAN MEJA BULAT: PERGOLAKAN DEMOKRASI DI MESIR - PERSPEKTIF GENERASI MUDA - Part 1

Assalamualaikum wahai akhwat dan akhi sekalian,

Rindu, serindu-rindunya... rindu untuk menyampaikan dakwah dan ini menarik-narik hati Shahida untuk menyampaikan apa yang Shahida peroleh minggu yang lalu ketika menyertai Persidangan Mejabulat: Pergolakan Demokrasi Di Mesir. Harap sangat kawan-kawan dapat berkongsi maklumat primer ini kepada sanak-saudara, rakan-rakan taulan terdekat, dan semua saudara seIslam kita. Semoga ianya bermanfaat kepada kita kerana Media massa kini terlalu kalut membuat liputan tanpa usul periksa. Oleh itu, haruslah kita mencari sumber yang benar. Berikut adalah sedikit sebanyak laporan yang shahida sediakan berdasarkan pembentangan dan perbincangan ahli akademi yang dijemput oleh pihak Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM). Harap akhwat dan akhi semua tidak bosan membaca demi menyelongkar kisah benar dari Mesir... Sebelum kita ikuti keadaan di sana, sangat perlu kita menyelongkar latar sejarah Mesir agar ianya lebih jelas.. 



Krisis Demokrasi Di Mesir: Satu Sorotan Sejarah dan Masa
- Tn Hj Shamsul Azhar Yahya
Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sejarah Mesir bermula sejak zaman Firaun. Pada mulanya kerajaan Malaysia mengkategorikan Ikhwanul Muslimin sebagai terrorist. Ikhwanul Muslimin (IM) pada asalnya ditubuhkan di Ismailiyyah oleh Hassan Al-Banna. Pada Mac 1928, berkumpul 6 sahabat Hassan Al-Banna menubuhkan gerakan tersebut. Kemudiannya, gerakan IM semakin rancak apabila Hassan Al-Banna bertugas di Kaherah. Ketika itu terdapat hampir 100 gerakan IM di Mesir. Tahun 1940 melihat peningkatan gerakan IM dengan 500 cawangan dan meningkat sehingga 5000 cawangan pada tahun 1946 dengan keahlian melebihi 500 000 orang pengikut.

Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin
Sehingga kini, pemimpin IM seramai 6 orang semuanya telah ditangkap oleh tentera Mesir. 5 orang yang terdahulu termasuk Hassan Al-Banna telah dikenakan hukuman gantung dan terbaru, Mohammad Badie telah dijadikan tahanan. Dalam kandungan Mukhtamar Ikhwan ke-Lima menunjukkan betapa IM amat memberi perhatian kepada golongan belia.

Pada tahun 1948 hingga 1965, sejumlah 61,000 orang pengikut IM telah ditangkap dan dibunuh. Raja Farouk telah mengharamkan IM pada 8 disember 1948 dan kesannya semua markas diarahkan tutup. Rentetan peristiwa, pada tahun 1952, IM telah mengetuai Revolusi apabilamana parti lain masih takut-takut untuk bertindak. Kemudian, Muhammad Naguib telah meminta bantuan daripada IM setelah dijatuhkan. Setelah kembali memerintah, Muhammad Naguib telah memfitnah IM dan mengharamkan IM. Setelah tampuk pemerintah diambil alih oleh  Gamal Abdel Nasser, perkara yang sama berlaku. Kemudian di zaman pemerintahan Anwar El Sadat, beliau tidak membenarkan IM untuk membuka markas tetapi dibenarkan untuk menerbitkan majalah Ikhwanul Muslimin. Majalah IM ketika itu benar-benar telah menghentam kerajaan Sadat dan menegaskan isu-isu berkaitan komunis.

Peristiwa kemudian berterusan dengan pengkhianatan seorang pengikut IM yang dikatakan telah membunuh Anwar El Sadat sedangkan dia sudah tidak menyokong IM lagi. Hal ini menjadi fitnah terhadap IM. Setelah pembunuhan Anwar El Sadat, Hosni Mubarak mengambil alih pemerintahan di Mesir. Setelah 30 tahun memerintah secara kuku besi, peristiwa seorang pemuda yang dibelasah oleh polis, Khaled Saed telah membangkitkan kemarahan belia dan seterusnya telah berlaku Revolusi 2011 yang akhirnya telah menjatuhkan Mubarak.

Sejak tahun 1928, Ikhwanul Muslimin merupakan ketua kepada anti-terorist. Apabila persoalan mengenai adakah Ikhwanul Muslimin terlibat secara langsung dengan terorist, jawapannya adalah; Tidak. Menurut Tn Hj Shamsul, beliau pernah bertemu sendiri dengan seseorang dari kerajaan Mesir, apabila soalan yang sama ditujukan, jawapannya adalah “orang yang belajar sejarah akan tahu bahawa Ikhwanul Muslimin tidak pernah terlibat dengan sebarang terrorist.”

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman ketika berada di Rabaah bahawa beliau telah bertemu seorang mak cik yang merupakan pro-demokrasi tetapi tidak menyokong Mursi. Menurut mak cik tersebut, pada Disember 2012 rumahnya telah runtuh dan dia telah tinggal di bawah jambatan tanpa mendapat bantuan. Suatu hari datang tiga orang lelaki menemui mak cik tersebut dan salah seorangnya adalah Presiden Mursi. Mursi telah memberikan sebuah apartment untuk mak cik tersebut. Setiap bulan sejak Januari 2013 dia tinggal di sana mak cik tersebut menerima surat pembayaran sewa apartment yang menyatakan ianya telah dibayar. Mak cik itu turut mendapat elaun sara hidup sebanyak 240 ringgit (tak pasti matawang apa yang dimaksudkan oleh Tn Hj). 

2 September 2013
10:30 pg

Maaf di atas laporan yang ringkas kerana ianya apa yang Shahida sempat catatkan. Jika anda berada di dalam pembentangan bersama-sama para belia yang hadir, pengulasannya adalah lebih mendalam, wallahualam.
Selain apa yang Shahida catatkan, akhwat dan akhi bolehlah merujuk penjelasan dari saudara kita AngelPakaiGucci; Konflik Mesir Untuk Dummies kerana Shahida dapati ianya selaras dengan apa yang Shahida dapati dari penjelasan Tn Hj Shamsul dan Prof Redzuan, Pakar Asia Barat, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Semoga kita sama-sama mendapat pencerahan mengenai isu ini, in shaa Allah.. Ikuti lagi post Shahida dengan laporan pembentangan dari Prof Redzuan di Part 2, in shaa Allah..