Friday, January 22, 2010

Pengalaman di Kemboja

di Kg Terbakar

Comunity Centre yang siap di"gotong-royong"kan.

Cuci mata tengok Orang Kemboja Muslim kahwin...

Gambar di hadapan Royal Palace














Program Kemasyarakatan dan Pengantarabangsaan Siswa Siswi UMK'09

Sepanjang mengikuti program ini, saya telah menimba ilmu mengenai kehidupan di mana saya amat bersyukur dilahirkan di Malaysia dalam keadaan aman, harmoni dan pesat membangun. Semasa di Kemboja, saya dapat melihat betapa sukar penduduk-penduduk di sana mengerah tenaga empat kerat untuk meneruskan kehidupan sehari-hari demi keluarga mereka. Ketika pertama kali sampai di sana, kami di bawa ke sebuah pasar di mana kebanyakan penjual berderu-deru mengekori para pengunjung dan peserta program. Mereka berlumba-lumba untuk mencari rezeki. Paling mengagumkan, ada di antara kanak-kanak yang turut menjual buah-buahan dan serangga goreng di situ begitu fasih berbahasa inggeris kerana sudah biasa berurusan dengan pelancong dari luar negara. Mereka bijak, tetapi peluang untuk belajar adalah amat terhad dengan kemudahan pembelajaran yang juga terhad. Pada waktu pagi mereka ke sekolah, petang pula mencari rezeki tanpa mengira jarak perjalanan. Detik itu telah memberikan saya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dengan segala kemudahan yang tersedia.

Selain berniaga, ramai juga yang hanya bercucuk tanam dan melakukan aktiviti sara diri kerana kekurangan peluang pekerjaan. Keadaan ini membawa saya terfikir, bagaimanalah Malaysia dapat membangun tanpa usaha oleh intelektual-intelektual zaman dahulu. Ilmulah yang penting dalam membawa sesuatu kemajuan. Oleh itu, dalam program ini, para peserta cuba untuk menerapkan budaya menuntut ilmu bagi generasi muda di sana. Saya terlibat dalam aktiviti bergotong-royong membersihkan dan mengecat semula bangunan “society centre” di Khompong Thom. Melalui pengalaman ini, saya dapat berbakti kepada saudara se-Islam saya sendiri. Perasaan membantu saudara yang susah memberikan kepuasan kepada saya. Walaupun hidup dalam serba mewah, jika hati tidak tenang, hidup pun tidak akan bahagia. Dengan bantuan yang diberikan dan melihat senyuman mereka yang menerima kehadiran kami sudah cukup memberikan kepuasan kepada saya.

Pada Hari Raya Korban di sana, walaupun tidak semeriah di Malaysia dan tiada pakaian baru bersempena hari tersebut, saya dapat merasakan bahang sambutan di sana kerana kami sama-sama berada di kawasan masjid untuk menyembelih lembu. Para peserta lelaki begitu bersemangat membantu penduduk kampung menguruskan urusan korban. Walaupun suasana ini tidak asing lagi di Malaysia tetapi cara mereka mengendalikan lembu tersebut bagi penamaan orang yang melakukan korban adalah di tulis di atas kertas mahjong dan diabadikan dalam gambar sebagai bukti.

Selain itu, semasa membuat penyelidikan, saya dapati, kebanyakan rumah adalah daif. Kemelaratan kebanyakan dialami oleh perempuan tua yang sudah kehilangan keluarga ketika zaman kekejaman Pol Port. Mereka hanya bergantung hidup dengan bantuan jiran terdekat. Ada juga di antara rumah yang kami lawati menyebabkan hati kami tersentuh dengan kesengsaraan mereka dalam meneruskan hidup. Terdapat beberapa penduduk di sana yang tidak mampu bercerita tentang kisah hidup mereka yang lampau kerana ianya adalah sebuah pengalaman yang pahit. Namun, kehidupan yang amat berbeza dari Malaysia telah memberikan saya kesedaran tentang nikmat sebuah keamanan dan kemajuan. Selain itu, kumpulan kami mendapati kebanyakan penduduk meninggal kerana terdapat batu di dalam perut. Hal ini kerana mereka bergantung hidup pada air yang mengandungi 15% bahan kimia. Disebabkan hal inilah mereka memerlukan “water pump” untuk bekalan minuman yang bersih.

Namun disebalik kesusahan, mereka tidak lupa untuk meraikan pasangan-pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Adat sambutan di sana amat berbeza dari Malaysia. Mereka tidak membuat majlis pertunangan, tetapi majlis walimatulurus dijalankan selama 1 hari setengah. Pada waktu malam adalah khusus untuk saudara mara, jiran tetangga dan kenalan mengambil gambar bersama pengantin. Ketika kami berkunjung ke empat buah dari sepuluh majlis perkahwinan di sana pada hari yang sama, kami dihidangkan dengan kuih-muih dan pulut kuning. Jika di Malaysia, adatnya pulut kuning bersama rendang ayam atau daging. Namun di Kemboja, mereka menghidangkan pulut bersama inti kelapa manis. Air teh juga turut dihidangkan, tetapi rasanya agak berbeza dari teh yang biasa di Malaysia. Kebanyakan pengantin adalah berumur di awal 20an dan baru sahaja pulang dari Malaysia setelah tamat tempoh kontrak. Oleh itu, komunikasi kami tidaklah berapa sukar. Kami juga belajar serba sedikit bahasa mereka seperti “tola” yang membawa maksud sila duduk dan sebagainya.

Seterusnya, pada hari terakhir selepas kerja-kerja bergotong royong siap, kami begitu asyik melihat telatah kanak-kanak dan juga mak cik, pak cik yang begitu asyik bermain sukaneka. Kedatangan kami telah memberikan mereka perasaan bahagia. Walaupun hanya seketika, ia telah memberi kesan terhadap psikologi mereka untuk keluar sebentar dari belenggu kesusahan dan merasa ruang keseronokan yang jarang mereka rasai. Senyuman di bibir mereka dapat memberikan perasaan yang berbeza bagi saya.

Setelah selesai tugas di Khompong Thom, kami melawat pula ke Kampung Kilometre 7 di mana seluruh perkampungan Islam itu telah musnah dijilat api. Hal ini amat menyedihkan para penduduk di situ walaupun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan. Bak kata ustaz di situ, tuhan telah turunkan bencana, tetapi manusia mana yang tak ditimpa ujian oleh Allah. Hal ini memberi pengajaran kepada saya agar sentiasa kuat dalam menempuh ujian tuhan.

Kami juga di bawa melawat ke sebuah sekolah lama yang dijadikan markas menyeksa mangsa-mangsa kekejaman Pol Pot pada tahun 1970-1975 serta ke Killing Field. Pada ketika itu, saya dapat mendekati sejarah yang telah berlaku di Kemboja. Kesan tinggalan darah pada lantai penjara di sana dapat menggambarkan keperitan hidup penduduk di sana ketika itu. Peristiwa ini amat menyayat hati di mana ramai mangsa yang tidak berdosa telah dibunuh dengan pelbagai cara yang kejam. Betapa bertuahnya kita yang hidup di zaman kemerdekaan berbanding orang dahulu yang selalu ditindas.

Berada di kawasan Royal Palace juga telah membawa saya mendekati adat-adat orang Kemboja. Adat mereka menyerupai Thailand kerana pernah berada di bawah satu kuasa pada suatu ketika dahulu. Majoriti penduduk di sini adalah beragama Buddha. Melalui program kemasyarakatan ini, saya bukan sahaja dapat menambahkan pengalaman, malah dapat menimba ilmu yang banyak di sana. Saya juga menyedari kepentingan teknologi tehadap ekonomi sesebuah negara di mana Kemboja masih lambat membangun kerana kekurangan kemudahan teknologi di negara mereka. Walaupun mereka banyak menghasilkan beras, beras tersebut tidak dapat diproses dengan baik di negara mereka sendiri kerana kilang yang kurang dari segi teknologi dan kualiti. Oleh itu, mereka terpaksa menjual dengan harga murah kepada negara Thailand.

Sekian, wassalam

2 comments:

  1. hoi, panjang nye karangan! tau r dpt A1 BM dlm SPM. ahahaa

    ReplyDelete
  2. uit, mane ada.. bm fail la.. b3.. wat syahdu je..tulah, excited sgt nk jwb smpai blank x kuar idea waktu exam..huhu..

    ReplyDelete